Selasa, 16 April 2013

Kemahiran Pemikiran Sejarah

 
KEMAHIRAN PEMIKIRAN SEJARAH DALAM KURIKULUM PENDIDIKAN SEJARAH.


ABSTRAK

Pemikiran Sejarah merupakan salah satu kemahiran yang penting dalam pendidikan Sejarah. Melalui kemahiran pemikiran Sejarah, pelajar-pelajar dirangsang untuk lebih berfikir secara kritis dan analitis. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pencapaian intelek para pelajar dan menjadikan Sejarah sebagai satu mata pelajaran yang hidup dan tidak lagi membosankan. Oleh itu kertas kerja ini akan meninjau dari aspek permasalahan penerapan pemikiran Sejarah dalam pengajaran dan pembelajaran guru-guru Sejarah. Turut dibincangkan dalam kertas kerja ini ialah tentang jenis-jenis kemahiran yang terdapat dalam pemikiran Sejarah yang perlu didedahkan kepada para pelajar. Kertas kerja ini turut memfokuskan peranan yang perlu dimainkan oleh guru-guru Sejarah dalam menerapkan kemahiran pemikiran Sejarah ini dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kata Kunci : Pemikiran Sejarah, Pendidikan Sejarah, Kemahiran Pemikiran Sejarah

ABSTRACTS

The thoughts on History serve as one of the essential skills in the education of learning History. Through the Historical thinking skills, students are encouraged to think critically and analytically. This indirectly enhances the students' intellectual achievements and perceives History not only to be an undying subject but also an intriguing lesson to be learnt. Thus, this paperwork will indulge into the problems of instilling the perception of the subject-matter into the Teaching and Learning process of a History teacher. Moreover, this paper will also discussed on the types of skills that can be found in the subject of History that should be exposed to the students. The paperwork also focuses on the roles needed to be played by the History teachers in order to inculcate the thinking skills into their Teaching and Learning process.

KEY WORDS :History Thinking, History Education, History Thinking Skills.

PENGENALAN
Pendidikan Sejarah adalah satu mata pelajaran yang dapat merangsang pemikiran dan proses pemikiran secara kritis dan analitis semasa mempelajari mata pelajaran Sejarah. Oleh itu guru-guru Sejarah memain peranan yang penting untuk menerapkan pemikiran Sejarah melalui aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menggalakkan pelajar berfikir. Hanya proses pengajaran dan pembelajaran yang bermakna sahaja yang boleh merangsang pemikiran pelajar (Maharom, 1998).
Oleh sebab itu pendidikan Sejarah hendaklah dilakukan sebagai satu kuasa yang hidup yang boleh mengaitkan peristiwa masa lalu dengan hakikat semasa (Abd Rahim, 2000). Para pelajar perlu diterapkan dengan dengan konsep pemikiran Sejarah agar dapat memberi satu persepsi baru kepada minda pelajar bahawa Sejarah bukanlah satu subjek yang kaku dan membosankan. Malah ia dapat mendedahkan kepada para pelajar bagaimana seseorang ahli Sejarah itu bekerja melalui aktiviti-aktiviti pembelajaran yang dibimbing oleh guru mereka (Isabel et all. 1997).

KEPENTINGAN PENDIDIKAN SEJARAH DALAM KURIKULUM KEBANGSAAN
Sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk, kepentingan pelajaran sejarah ini tidak boleh dipertikaikan lagi. Melalui sejarah seperti yang dinyatakan oleh Davies (1994) dapat memupuk integrasi nasional kerana ia mengajar tentang nilai-nilai politik dan kenegaraan. Pendidikan sejarah mampu mengembangkan pengetahuan, kemahiran dan sikap pelajar agar melibatkan diri dengan masyarakat yang lebih kompleks. Situasi ini secara tidak langsung dapat menanamkan semangat patriotik dalam kalanga geerasi muda.

Kepentingan pendidikan sejarah dalam mewujudkan perpaduan kaum dan keharmonian di samping memperkasakan semangat patriotism dalam kalanga rakyat pelbagai kaum diberi penekanan dalam Sukatan Pelajaran Sejarah (KPM: 2003). Mata pelajaran ini digubal agar dapat
“memupuk dan memperkukuhkan semangat setia negara dan jati diri sebagai warganegara Malaysia dan warga dunia”. Ia juga berhasrat untuk mewujudkan semangat perpaduan dan kekitaan bangsa dan negara Malaysia dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum (KPM:2003).

MASALAH PENERAPAN PEMIKIRAN SEJARAH DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Penerapan pemikiran sejarah dalam kalangan pelajar akan berhadapan dengan masalah sekiranya guru kurang berpengetahuan dan pengajaran hanya bergantung kepada buku teks semata-mata. Wilson (1989) misalnya, mencadangkan pengetahuan yang mendalam tentang Sejarah bukan hanya melibatkan pengetahuan yang lebih banyak, iaitu keupayaan menyebutkan lebih banyak tahun, mengenal lebih banyak nama, dan mengingat semula lebih banyak peristiwa. Sebaliknya, ia melibatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang fenomena sejarah, termasuk pensejarahan atau bagaimana sejarah dihasilkan.

Bagi pihak pelajar pula, penerapan kemahiran pemikiran sejarah ini akan mengalami kesukaran terutamanya di dalam kelas yang mempunyai pelbagai tahap pelajar. Misalnya adalah sukar untuk menerapkan kemahiran pemikiran sejarah ini terhadap pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran, kerana sukar bagi pelajar kumpulan ini untuk memahami dan berfikir isu-isu yang kompleks seperti bukti sejarah, bias dan sumber-sumber sejarah (http://teachinghistory.org/issues-and-research/research-brief/22961)

Kemahiran pemikiran sejarah memerlukan pelajar-pelajar serba boleh. Mereka perlu meneroka, menyelidiki, menganalisis dan menginterpretasi sumber. Juga memerlukan mereka untuk membuat perkaitan tentang sebab dan akibat berdasarkan peristiwa sejarah. Ini bermakna pelajar-pelajar itu perlu memiliki pemikiran yang kritis dan kreatif, serta memenuhi kriteria-kriteria pemikiran sejarah. Bersesuaian dengan mata pelajaran ini yang merupakan satu mata pelajaran yang kompleks, abstrak dan empirikal.

Namun tidak semua pelajar dapat mencapai tahap seperti yang diperlukan dalam pemikiran sejarah. Justeru itu akan berlaku masalah sekiranya pelajar yang masih belum mencapai kriteria pemikiran sejarah terpaksa untuk membuat interpretasi sumber-sumber sejarah. Mungkin apa yang ditafsirkan tidak mencapai tahap yang dikehendaki dan keputusan atau tafsiran itu tersasar jauh daripada apa yang diharapkan.

Kemahiran pemikiran sejarah ini sukar dilaksanakan sekiranya kita masih berada dalam sistem pendidikan yang sama seperti hari ini, iaitu sistem pendidikan di negara kita yang terlalu menumpukan kepada peperiksaan semata-mata tanpa menghiraukan aspek-aspek yang lain. Abdul Rahim (1989) menyatakan isi kandungan yang terlalu banyak dan padat, ditambah pula dengan kesuntukan masa kerana perlu menghabiskan sukatan pelajaran sebelum waktu peperiksaan. Keadaan ini menjadikan Sejarah kurang menarik dan tidak dapat mencapai objektif untuk menguasai kemahiran pemikiran sejarah.

Malah menurut Khoo Kay Kim (2000) pembelajaran sejarah yang hanya menekankan aspek hafalan fakta, tarikh serta pergolakan dunia yang berlaku beribu-ribu tahun yang lampau menyebabkan pelajar mempunyai pandangan yang sempit tentang proses dan perkembangan negara dan menanggap pelajaran sejarah sebagai menjemukan dan tidak merangsang untuk berfikir.

Pandangan Khoo Kay Kim turut disokong oleh Subadrah Nair (2005) ,penumpuan kepada hafalan ini menyebabkan pelajar-pelajar tidak didedahkan kepada pemikiran kritis dan kreatif. Pengajaran Sejarah juga terlalu bersifat tradisional yang hanya berpusatkan kepada guru dan bersifat satu hala mewujudkan keadaan pelajar-pelajar tidak memainkan peranan aktif di dalam kelas. Situasi yang sering berlaku ialah pelajar-pelajar hanya dikehendaki mendengar atau menyalin nota yang dicatatkan oleh guru. Guru pula amat gemar menggunakan kaedah kaedah khutbah atau syarahan dalam pengajarannya .

Corak pengajaran yang lebih berpusatkan kepada guru ini dapat dikaitkan dengan pengajaran guru yang terlalu terikat dengan buku teks. Nota-nota , pengajaran yang diberi diambil dari buku teks semata-mata. Tiada usaha lebih yang dilakukan oleh guru Sejarah semata-mata bergantung kepada buku teks. Pengajaran guru Sejarah juga mendedahkan kelemahan-kelemahan dari segi menentukan pencapaian objektif-objektif yang sesuai. Objektif yang bersifat umum tidak dapat menentukan objektif pengajaran dengan berkesan dan menyebabkan pengajaran guru gagal menyampaikan pengetahuan dan mengembangkan kemahiran-kemahiran yang dimaksudkan.

Pengajaran Sejarah juga kurang berlandaskan kemahiran iaitu aktiviti-aktiviti pengajaran tidak mencabar kebolehan kognitif dan afektif pelajar. Kebanyakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran menggalakkan pelajar mengahafal hujah-hujah tanpa memahami signifikan, kaitan dan implikasi dengan apa yang dipelajari. Keadaan sedemikian tidak menimbulkan minat pelajar-pelajar.

Menurut Abd Rahim (1998) kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam sesuatu mata pelajaran perlu menarik minat dan mencabar kebolehan pelajar. Kriteria ini amat penting menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih bersifat inovatif dan kreatif untuk mengembangkan minda kritis dan kreatif pelajar. Manakala kaedah dan metodologi pengajaran yang bersifat ‘spoon feed’, induktif dan khutbah yang hanya mementingkan pelajar menerima apa sahaja yang disogok oleh guru tidak lagi sesuai dengan pembaharuan kurikulum dan perubahan budaya belajar dan budaya mengajar era perkembangan informasi maklumat yang berlaku dalam masyarakat moden.

KONSEP PEMIKIRAN SEJARAH
Marzano et all. (1998) menjelaskan pemikiran sejarah melibatkan satu set operasi mental yang dikenali sebagai proses. Proses ini merangkumi pembentukan konsep, pembentukan prinsip, kefahaman, penyelesaian masalah, membuat keputusan, penyiasatan dan penggabungan yang melibatkan beberapa kemahiran berfikir. Proses pemikiran di peringkat awal adalah lebih kepada pemerolehan pengetahuan, sementara di peringkat akhir ia lebih kepada penghasilan dan aplikasi ilmu.

Peranan pemikiran sangat penting kepada kepada seseorang pengkaji dan penyelidik sejarah dan bukannya pemikiran itu sendiri sebagai gejala dalam sejarah. Oleh itu beliau menyamakan sejarah itu dengan pemikiran apabila beliau menyatakan bahawa semua sejarah itu adalah sejarah pemikiran. Beliau menyatakan bahawa sejarah tidak dapat ditulis secara saintifik kecuali sejarah itu dapat menggambarkan kembali di dalam akalnya akan pengalaman orang-orang yang tindakannya sedang dikaji oleh sejarawa berkenaan (Yusof Ibrahim, 1985).

Furet (1983), menyatakan bahawa Sejarah merupakan satu bidang ilmu yang boleh dibuat pelbagai interpretasi dari semasa ke semasa. Guru tidak perlu lagi menyediakan pelajar dengan segala fakta dan penjelasan sejarah, malah dalam kerangka pemikiran sejarah era ‘new history’ ia lebih kepada penumpuan untuk mengasah intelek pelajar secara kritikal dan analitikal (Jenkins, 1992). Jadi, konsep pemikiran sejarah perlulah difahami oleh pelajar agar mereka dapat dilatih menjadi sejarawan.

Pemikiran Sejarah pula berdasarkan Huraikan Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (2002), merupakan satu bentuk proses kognitif yang murid-murid meneroka idea yang kompleks dan abstrak dengan bimbingan guru. Kenyataan ini selari dengan takrifan pemikiran Sejarah yang dibuat oleh Wineburg (2001) ialah satu cara berfikir yang unik. Beliau juga berpendapat pemikiran Sejarah merupakan bentuk yang paling mendalam, merupakan proses yang asli disebabkan perkembangan psikologi. Beliau turut menyatakan pemikiran Sejarah ialah “goes against the grain of how we ordinally think..”

Pemikiran sejarah juga menunjukkan pengajaran yang bertumpu kepada usaha mempertajamkan pemikiran menjadi perkara yang sangat penting dalam perubahan pendidikan kini. Ini disebabkan pemikiran berkait rapat dengan unsur intelek yang diberi penekanan dalam KBSM (Kamarudin Haji Husin, 1994).

KEMAHIRAN PEMIKIRAN SEJARAH
Antara kemahiran pemikiran Sejarah yang digariskan dalam Huraian Sukatan Pelajaran Sekolah Menengah (2002) yang dikeluarkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum untuk diterapkan oleh guru-guru Sejrah kepada para pelajar ialah:-

i. Memahami kronologi.
Memahami kronologi bermaksud melihat masa lalu, kini dan masa akan datang mengikut urutan sesuatu peristiwa sejarah yang berlaku. Sebagai contoh pelajar tingkatan satu yang telah belajar tentang zaman pra sejarah, dapat melakar carta masa yang menunjukkan kehidupan zaman pra sejarah seperti Paleolitik, Neolitik dan Logam. Melalui pemahaman kronologi ini para pelajar dapat membuat perkaitan antara masa lalu dengan masa kini.

ii. Meneroka bukti
Kemahiran ini mengenalpasti sumber pertama dan kedua serta membuat perbandingan antara kedua-dua sumber tersebut, di samping mendapat maklumat daripadanya. Antara aktiviti yang boleh dijalankan oleh guru bagi menerapkan kemahiran meneroka bukti ialah dengan mengarahkan pelajar berfikir dan meneroka bukti tentang mengapa kerajaan-kerajaan maritim wujud di tepi pantai.

iii. Membuat interpretasi
Bermaksud membuat tafsiran terhadap sesuatu peristiwa dengan memberi ulasan dan kupasan. Dengan itu pelajar akan lebih memahami perkaitan antara fakta Sejarah dan tafsiran Sejarah dengan baik. Kemahiran membuat interpretasi ini juga bermakna masa lalu yang boleh difahami melalui pemerhatian dan interpretasi yang sistematik dapat membantu kita hidup dengan lebih baik pada masa hadapan (Paul & Elder, 2006). Sebagai contoh pelajar dikehendaki membuat tafsiran tentang konsep tamadun mengikut pandangan Barat dan Islam. Dengan membandingkan kedua-dua pandangan ini pelajar telah membuat tafsiran dan ulasan serta perbandingan tentang perbezaan kedua-dua pandangan Barat dan Islam.

iv. Membuat imaginasi
Merupakan kemahiran pemikiran Sejarah. Ia merupakan satu usaha melibatkan pelajar dengan sesuatu situasi dalam peristiwa Sejarah yang dikaji. Kemahiran imaginasi ialah secara visual dan empati. Empati misalnya merujuk kepada seseorang yang menilai sejarah menurut kacamata sumber atau subjek sejarah yang terlibat, contohnya untuk menilai tindakan kenapa Tunku Abdul Rahman mengeluarkan Singapura dari Malaysia, maka kita perlu meletakkan diri kita pada tempat Tunku pada ketika keputusan penting tersebut hendak diambil. Cara ini boleh menjelaskan kepada kita mengapa tindakan itu diambil.

v. Membuat rasionalisasi
Melibatkan penggunaan akal dalam membuat pertimbangan yang wajar dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan. Para pelajar perlu mempunyai kemahiran mengumpul data, membuat hipotesis, menentukan signifikan bukti dan membuat inferens daripada data yang dikumpul. Kemahiran ini membolehkan kita mendapat pengetahuan yang penting daripada kajian masa lalu yang seterusnya membimbing kita untuk membuat keputusan yang lebih baik pada masa hadapan (Paul & Elder, 2006). Contoh yang boleh diambil untuk membuat rasionalisasi ialah mengarahkan pelajar untuk membincangkan tentang Perang Dunia Kedua yang membawa banyak kemusnahan atau mengapa Rancangan Malaya Pertama diperkenalkan.
Kelima-lima kemahiran tersebut adalah kemahiran-kemahiran yang sangat melibatkan proses-proses Sejarah atau kemahiran prosedural guru dan pelajar. Para guru akan membimbing pelajar untuk membuat perkaitan antara masa lalu dan masa kini, menganalisis, menyelidik dan memproses bukti-bukti,membuat hipotesis, memahami dan memberi penerangan serta membuat pertimbangan. Seterusnya, ia pula akan terlaksana apabila para guru Sejarah melibatkan pelajar secara aktif dalam proses pembelajaran Sejarah. Dengan itu, secara tidak langsung para pelajar akan memperoleh kelima-lima kemahiran yang dinyatakan (Zahara & Nik Azleena, 2007).

Menurut Peter Seixas (1996), beliau telah mengenalpasti enam elemen spesifik dalam disiplin Sejarah bagi membentuk satu rangka kerja tentang pemikiran Sejarah yang perlu diterapkan kepada para pelajar.

i. Kepentingan (Significance)
Dalam unsur kepentingan sejarah ini, pelajar-pelajar perlu mempunyai kemahiran membezakan antara peristiwa yang remeh dan penting. Dalam hal ini pemilihan kepentingan sejarah bergantung kepada minat dan nilai yang terdapat dalam masyarakat tersebut. Oleh itu pelajar-pelajar disarankan untuk mengkaji sejarah tentang masyarakat, kehidupan dan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan kepada mereka. Misalnya dalam kajian yang dilakukan oleh Barton dan Levstik (2004) dan oleh Yeager, Foster dan Greer (2002) mendapati pelajar amat dipengaruhi oleh identiti nasional mereka dalam membuat pemilihan tentang peristiwa yang penting.

ii. Epistemologi dan bukti (Epistemology and evidence)
Ia melibatkan pemahaman bagaimana kita mengetahui masa lampau. Apakah bukti yang kita ada ? Sejauhmana bukti tersebut boleh dipercayai? Bagaimana kita boleh menjelaskan tentang kewujudan tafsiran sejarah yang berbeza dan bertentangan. Sebagai contoh kanak-kanak tidak sepatutnya dibiarkan dengan pandangan bahawa hanya ada satu kisah benar sahaja pada masa lampau. Sedangkan pada hakikatnya sejarawan membuat pelbagai inferens berdasarkan bukti, justeru itu wujud pelbagai tafsiran tentang sesuatu peristiwa masa lalu.

iii. Kesinambungan dan perubahan (Continuity and Change)
Unsur ini menekan pemahaman tentang perubahan masa lalu yang merupakan pusat pemikiran Sejarah. Umur merupakan faktor untuk memahami keadaan ini; iaitu seseorang yang berumur dikatakan lebih memahami perubahan yang berlaku pada masa lalu misalnya perubahan dari segi teknologi dan nilai berbanding dengan mereka yang lebih muda. Namun begitu terdapat juga pengkaji yang menolak pendapat ini. Menurut mereka umur bukanlah satu faktor utama dalam memahami perubahan masa lalu. Menurut pengkaji-pengkaji ini pengalaman hidup turut menjadi faktor iaitu golongan muda yang mengalami pengalaman perang, pelarian, imigran dan mereka yang kehilangan ibu bapa atau yang berpindah randah dari satu kawasan ke kawasan lain mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang perubahan Sejarah berbanding dengan mereka yang hidup dalam suasana yang aman.

iv. Perkembangan dan kemerosotan (Progress and decline)
Berdasarkan unsur ini pelajar perlu memahami bahawa dalam kehidupan akan mengalami peringkat perkembangan dan kemerosotan. Dalam peringkat perkembangan hidup seseorang mengalami kejayaan, manakala kemerosotan mereka mengalami satu keadaan yang sukar. Oleh itu dalam konsep pemikiran Sejarah mereka seharusnya dapat mengenalpasti atau membezakan kewujudan dua keadaan ini. Ini adalah penting agar mereka dapat memahami proses yang berlaku dalam peristiwa Sejarah.

v. Empati dan penilaian moral (empathy and moral judgement)
Pemikiran sejarah memerlukan seseorang mempunyai daya imaginasi dan empati. Tujuannya agar pelajar-pelajar tidak merasa asing dan pelik tentang peristiwa masa lalu. Malah mereka seharusnya perlu mempunyai rasa hormat dan perasaan ingin tahu tentang peristiwa-peristiwa masa lepas. Penyelidik British Christopher Portal(1987), menegaskan bahawa empati merupakan satu cara pemikiran imaginative yang memerlukan kemahiran kognitif untuk melihat nilai-nilai kemanusiaan dalam peristiwa Sejarah.

vi. Historical Agency
Elemen terakhir pemikiran sejarah ini merujuk kepada bagaimana dan mengapa sesuatu perkara itu terjadi. Dalam elemen ini pelajar ditekankan supaya menghargai Sejarah dan memahami bahawa tindakan rakyat pada masa lampau memberi kesan kepada rakyat pada masa kini. Seterusnya menyedari bahawa tindakan-tindakan yang dilakukan oleh mereka pada masa kini akan memberi kesan kepada generasi yang akan datang. Mempunyai pemikiran Sejarah bukan sahaja memikirkan tentang masa lampau , malah ia melibatkan melihat diri sendiri sebagai waris daripada masa lampau dan sebagai pelaku pada masa kini.

PENERAPAN KEMAHIRAN PEMIKIRAN SEJARAH DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEJARAH.
Ramai yang berpendapat mengajar sejarah hanyalah tentang bercerita atau “just tell stories”. Sejarah mengandungi kisah tentang kehidupan individu atau tokoh. Sesuatu cerita jika diceritakan dengan baik boleh menarik minat pelajar untuk belajar sejarah. Para sejarawan sependapat bahawa fakta tidak boleh ‘bercakap’, jadi menjadi tugas sejarawan untuk membentuk persoalan, membentuk inferens, membuat penilaian sekiranya perlu dan membuat kesimpulan tentang fakta sejarah tersebut (Crabtree et all., 1993).
Oleh itu pelajar-pelajar perlu didedahkan dan diterapkan dengan kemahiran pemikiran Sejarah. Keadaan ini selaras dengan Orientasi pendidikan sejarah peringkat Sekolah Menengah Atas yang bertujuan untuk memberi pemahaman ilmu dan memupuk pemikiran sejarah Namun begitu, untuk memupuk kemahiran pemikiran sejarah dalam kalangan pelajar-pelajar bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi Sejarah merupakan satu subjek yang paling sukar untuk diajar di sekolah menengah (Sizer, 1984). Ini dapat dibuktikan dengan kaedah pengajaran guru sejarah yang tidak sesuai dan kurang menarik. Malah ramai yang tidak mengetahui bagaimanakah kaedah pengajaran Sejarah yang paling baik atau sesuai (Howard & Mendenhall, 1982).

Walaubagaimana pun, kajian yang dilakukan oleh Wineburg dan Wilson (1992), mendapati antara cara untuk memberi kemahiran pemikiran Sejarah dalam kalangan pelajar ialah, guru Sejarah perlu melibatkan pelajar dalam pengajarannya serta menggunakan pelbagai teknik dan kaedah seperti debat, main peranan, demonstrasi, analogi dan lain-lain. Kaedah pengajaran yang aktif ini berkesan kerana ia menyebabkan pelajar-pelajar ‘berkomunikasi’ dengan mata pelajaran tersebut dan secara tidak langsung dapat menimbulkan minat pelajar.

Bagi menerapkan konsep pemikiran Sejarah di dalam bilik darjah, proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah perlulah merangsang pemikiran pelajar. Ini boleh dilaksanakan melalui aktiviti pembelajaran aktif yang melibatkan proses mencari bukti, membuat pertimbangan dan rasionalisasi, interpretasi dan imaginasi dengan bimbingan guru. Oleh itu para guru Sejarah perlulah memiliki pemahaman dan pengetahuan mengenai kemahiran pemikiran Sejarah untuk dilaksanakan dalam pengajaran mereka.

Bersesuaian dengan pendapat Antonio (2008) yang menyatakan, pengajaran Sejarah dalam bilik darjah perlu menggunakan kaedah pengajaran aktif. Menurutnya lagi Sejarah adalah satu proses menyiasat tentang sumber primer dan sumber sekunder . Sejarawan kebiasaannya akan menyoal dengan pertanyaan seperti mengapa dan bagaimana ketika menjalani proses Sejarah. Malah guru juga turut menggunakan kaedah menyoal ketika mengajar tetapi tujuan menyoal seorang guru Sejarah berbeza dengan seorang sejarawan. Tujuan seorang sejarawan menyoal adalah untuk memberi makna kepada fakta-fakta yang diperolehi. Manakala guru Sejarah pula menyoal untuk menggalakkan pelajar agar berfikir mengikut pendekatan Sejarah.
Selain daripada itu salah satu cara untuk membentuk kemahiran pemikiran sejarah ialah dengan menggunakan kaedah inkuiri terhadap sesuatu bahan atau sumber (bukti) sejarah. Kaedah inkuiri ini yang mewujudkan sifat ingin tahu dalam diri pelajar untuk melakukan proses pencarian dan penemuan. Keadaan ini secara tidak langsung dapat melatih pelajar untuk berhjah secara logik, bernas dan disokong oleh fakta-fakta sejarah (Antonio, 2008)

Bagi membentuk pelajar yang mempunyai kemahiran pemikiran Sejarah, ia memerlukan bukan sahaja kemahiran menguasai fakta, malah pelajar tersebut juga perlu mempunyai kemahiran menganalisis perkaitan antara satu fakta dengan fakta yang lain. Justeru itu, pelajar-pelajar perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang luas bagi menyokong hipotesis serta sebab dan akibat.

Pemikiran sejarah sebenarnya, memerlukan persoalan, yang mana jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul tidak memerlukan satu jawapan yang benar atau salah. Apa yang penting dalam mendapatkan jawapan pelajar perlulah mencari hipotesis-hipotesis yang sesuai. Pelajar perlu menyusun bukti-bukti untuk menyokong hipotesis mereka. Malah berfikir secara sejarah juga memerlukan pelajar menganalisis sebab dan akibat (Holt, 1990). Keadaan ini juga memerlukan pelajar dapat membezakan anatara sebab segara dan sebab panjang sesuatu peristiwa itu berlaku. Berdasarkan penerangan dapatlah kita rumuskan bahawa pemikiran sejarah dapat melatih pelajar berfikir secara kritis.


Penutup

Berdasarkan apa yang diterangkan tentang pemikiran sejarah, jelas menunjukkan kemahiran ini perlu dipraktikkan oleh para guru dan pelajar, terutama semasa sessi pengajaran dan pembelajaran sejarah. Dengan penerapan kemahiran pemikiran sejarah ini proses pengajaran dan pembelajaran sejarah menjadi lebih menyeronokkan dan bermakna. Sesuai dengan pandangan yang diberikan oleh John Dewey (1966) yang menyatakan pembelajaran merupakan satu proses yang bermakna (meaningful learning) dan ini bermaksud pembelajaran bermakna ialah “learning by doing” yang dapat membantu pelajar berfikir dan membentuk kefahaman tentang sesuatu permasalahan. Kenyataan John Dewey ini bertepatan dengan konsep pemikiran sejarah yang memerlukan pelajar untuk meneroka, membuat inferens, interpretasi, dan sebagainya.

Namun begitu bagi memenuhi objektif pemikiran sejarah, guru sebenarnya memainkan peranan yang penting untuk menjayakan hasrat ini. Guru seharusnya terlebih dahulu mempunyai pengetahuan yang tinggi dan mendalam sama ada tentang isi kandungan pelajaran sejarah atau kemahiran pemikiran sejarah agar guru dapat menerapkan pemikiran ini dalam kalangan pelajar pula. Menurut Zahara & Nurliah (2009) sekiranya guru mementingkan pengajaran yang memberi latihan kepada pelajar untuk berfikir, maka apabila pelajar meninggalkan alam persekolahan dan menjejak alaf baru, mereka akan lebih rasa yakin dan berinisiatif dalam menyelesaikan masalah dan berfikiran kritis dan kreatif. Sekiranya konsep pemikiran sejarah ini dapat difahami dan diaplikasikan dalam kehidupan pelajar ia seterusnya dapat melahirkan semangat setia negara dan jati diri sebagai warganegara Malaysia.


 RUJUKAN
Abd Rahim Abd Rashid .2000. Model dan pendekatan pengajaran Sejarah KBSM. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur
Bruce A.VanSledright. 2004. What does it mean to think historically and how do you teach it?
Cabtree, C.1989. Improving History in the schools. Edcational Leadership 47 (3): 25-28
Furet, F.1983. Beyond the Annates. Journal of Modern History. Vol.55.
Holt, T. 1990. Thinking historically: narrative, imagination and understanding. New York:College Entrance Examination Board
Jenkins, J.1991. Issues in the teaching history-towards a skill concept-led approach. Journal of History Teaching. The Historical Association: Julai:17-21
Marzano, R.J.Brandt , et all.1988. Dimension of thinking: A framework for curriculum and instruction. Virginia: Association for Supervision and curriculum development.
Maharom Mahmood. 1998. Analisis Kemahiran Pemikiran Sejarah dalam bahan kurikulum peringkat menengah rendah. Tesis Sarjana Universiti Malaya.
Kamarudin Haji Husin. 1994. KBSM strategi pengajaran bahasa. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd
Kementerian Pendidikan Malaysia. 2000. Huraian Sukatan Pelajaran Sejarah KBSM Tingkatan 1,2 , 3.
Khoo Kay Kim. (2000). Falsafah sejarah: Ke arah mengembangkan unsur patriotism dan kenegaraan. Seminar Kebangsaan Falsafah Pendidikan Ke Arah Pemantapan Gagasan danWawasan Kenegaraan, 6-7 julai. Unversiti Malaya.

Paul, R & Elder, L. 2006. Analytic Thinking: The Thinker’s guide. The Foundation for Critical Thinking.
Seefeldt, Carol. 1993. History for young children. Theory and Research in Social Education, 21 (2), 143-155.
Seixas, Peter. 1996. Conceptualizing the growth of historical understanding. The Handbook of Education and Human Development. Olson, D.R. and Torrance, N. (eds.). Cambridge, MA: Blackwell Publishers Ltd., 765-783.
Isabel, G.Gracia, J. & Valverde, L. 1997. A new glance at History: A proposal towards meaningful learning. Teaching History 86: 21-23
William J.Warren, D.Antonio Cantu. 2008. History Education 101. Information Age Publishing.
Wilson, S. M. (1989). Parades of facts, stories of the past: What do novice history teachers need to know. Competing visions of teacher knowledge: Proceedings from an NCRTE Seminar for Education Pollcymakers, Washington, DC.

Keith C.Barton & Linda S.Levstik. 2004. Teaching History for the common good, Lawrencer Erbaum Associates Publishers: New Jersey
Wineburg, Sam .2001. Historical Thinking and on the Unnatural Acts: charting the future of teaching the past. Philadephia: Temple University Press
Zahara Aziz & Nurliah Jair. (2009). Penggunaan peta konsep untuk meningkatkan pencapaian mata pelajaran Sejarah bagi pelajar tingkatan dua. Jurnal Pendidikan Malaysia, 34 (1): 3-5.
Zahara Aziz & Nik Azleena. 2007. Kajian tinjauan kesediaan guru-guru sejarah menerapkan kemahiran pemikiran sejarah kepada para pelajar. Jurnal Pendidikan, 32(2007), 119-137.
http://www.nchs.ucla.edu/Standards/historical-thinking-standards-1/overview
(http://teachinghistory.org/issues-and-research/research-brief/22

Tiada ulasan: