Sabtu, 20 April 2013

Kesan Penyalahgunaan Steroid Anabolik Terhadap Sistem Tubuh Badan

Assalamualaiikum dan selamat sejahtera kepada semua


Gambar hiasan

Laporan yang berterusan terhadap penyalahgunaan steroid anabolik yang digunakan oleh ramai atlet  profesional yang dipandang sebagai ‘role model’ memberikan gambaran yang tidak baik untuk komuniti kita. ‘Lebih besar lebih cantik’ menyebabkan ramai yang ingin mencuba steroid anabolik untuk mendapatkan kesan yang diinginkan untuk membina otot.

Penyalahgunaan steroid anabolik berbeza daripada penyalahgunaan dadah terlarang lain. Ini adalah kerana penggunaannya bukan didorong oleh perasaan euforia yang dirasai sejurus selepas menggunakan heroin, kokain atau marijuana, tetapi didorong atas rasa ingin meningkatkan prestasi dan penampilan diri.
Penggunaan steroid anabolik yang dapat meningkatkan tahap keyakinan diri dan kekuatan menyebabkan pesalahguna steroid anabolik mengabaikan kesan bahaya disebabkan oleh bahan ini. Penyalahgunaan steroid anabolik boleh menyebabkan kesan serius yang berpanjangan, dan dalam kes-kes tertentu, kesannya adalah kekal.

Steroid anabolik boleh membawa kepada serangan jantung awal, strok, tumor hati, kegagalan fungsi buah pinggang dan masalah psikiatri yang serius. Selain itu, oleh kerana steroid anabolik ini sering digunakan melalui suntikan, pengguna yang berkongsi jarum suntikan adalah berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan virus seperti HIV/AIDS, hepatitis B dan hepatitis C.

APAKAH STEROID ANABOLIK?

Steroid anabolik adalah sejenis bahan sintetik dimana struktur dan fungsinya hampir sama dengan hormon seks lelaki seperti testosterone. Ia menggalakkan pertumbuhan otot (anabolic effect) dan peningkatan ciri-ciri seksual lelaki (androgenic effect) untuk lelaki mahupun wanita.
Steroid anabolik dihasilkan pada akhir 1930-an. Pada asalnya, ia bertujuan untuk merawat hypogonadism, iaitu sejenis penyakit di mana testis tidak dapat menghasilkan hormon testosteron yang mencukupi untuk pertumbuhan dan fungsi seksual normal lelaki. Bahan ini juga digunakan di dalam perubatan khasnya untuk merawat kelewatan akhil baligh, masalah kelamin untuk kaum lelaki dan penyusutan otot disebabkan oleh jangkitan HIV dan penyakit-penyakit lain.
Pada tahun yang sama, para saintis mendapati bahawa steroid anabolik juga memberi kesan lain iaitu peningkatan pertumbuhan otot terhadap haiwan ujian di makmal, di mana bermulanya penyalahgunaan steroid anabolik ini oleh atlit bina badan dan seterusnya oleh atlit-atlit dalam bidang sukan lain.

KESAN PENYALAHGUNAAN STEROID TERHADAP KESIHATAN

Penyalahgunaan steroid dikaitkan dengan pelbagai kesan sampingan daripada fizikal kurang menarik seperti masalah jerawat hinggalah kepada masalah lain yang dapat membawa maut seperti serangan jantung dan kanser hati. Kebanyakan kesan ini adalah sementara jika pengambilannya dihentikan, tetapi sesetengahnya adalah kekal seperti suara menjadi garau, khasnya untuk wanita.
Kesan-kesan penyalahgunaan steroid anabolik dapat diklasifikasikan seperti:

1. Sistem hormon
Penyalahgunaan steroid akan mengganggu pertumbuhan normal hormon badan menyebabkan kesan sementara atau kekal. Perubahan sementara adalah seperti pengurangan penghasilan sperma dan pengecutan testis (testicular atrophy) manakala perubahan kekal termasuklah botak dan pertumbuhan payudara bagi lelaki (gynecomastia). Satu kajian menunjukkan lebih dari separuh daripada ahli bina badan mengalami masalah ini.
Dalam konteks wanita, steroid anabolik meningkatkan ciri-ciri maskulin seperti pengecilan payudara dan penurunan jumlah lemak dalam badan, kulit menjadi kasar, pembesaran klitoris dan suara yang garau. Wanita yang mengamalkan pengambilan steroid anabolik secara berlebihan ini juga akan mengalami pertumbuhan bulu badan secara tidak terkawal dan berlebihan tetapi dalam masa yang sama, mereka juga mengalami keguguran rambut. Walaupun sesetengah kesan adalah sementara, penggunaan secara berterusan dalam jangka masa yang panjang akan menyebabkan kesannya kekal.
Ketidaksuburan juga dikaitkan dengan penggunaan steroid anabolik kepada kaum lelaki dan wanita.

2. Sistem muskuloskeletal
Secara normalnya, peningkatan jumlah hormon testosteron dan seks hormon yang lain akan mencetuskan pertumbuhan tulang yang maksimum semasa akhil baligh dan remaja, diikuti dengan isyarat supaya pembesaran berhenti. Jika steroid anabolik ini disalahgunakan oleh kanak-kanak atau remaja yang sedang membesar, peningkatan seks hormon (walaupun ia adalah artificial) secara mendadak akan memberi isyarat kepada otak supaya pembesaran dihentikan. Ini bermakna, pertumbuhan tulang seseorang remaja itu menjadi terbantut sebelum tiba masanya.

3. Sistem kardiovaskular
Penyalahgunaan steroid seringkali dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok, walaupun sesetengahnya berusia kurang dari 30 tahun. Steroid berperanan dalam mengubah tahap lipoprotein yang membawa kolesterol dalam darah. Ia meningkatkan LDL (kolesterol jahat) dan mengurangkan HDL (kolesterol baik). LDL yang tinggi dan HDL yang rendah meningkatkan risiko untuk seseorang mendapat arterosklerosis, satu keadaan di mana lemak terkumpul di dalam salur darah dan mengganggu perjalanan darah. Jika perjalanan darah ke jantung terhalang, ia akan menyebabkan serangan jantung, dan, jika perjalanan darah ke otak terhalang, serangan otak iaitu strok akan terjadi. Hal ini juga boleh menyebabkan penyakit darah tinggi kepada pengguna.
Selain itu, steroid juga meningkatkan risiko pembekuan darah di dalam salur darah. Pembekuan darah akan menyebabkan perjalanan darah terganggu dan merosakkan otot jantung. Akibatnya, jantung tidak dapat mengepam darah secara berkesan.

4. Hati
Penyalahgunaan steroid dikaitkan dengan tumor hati dan dalam isu terpencil, peliosis hepatitis, di mana cyst yang dipenuhi darah terbentuk di dalam hati. Kedua-dua tumor dan cyst ini apabila pecah, akan menyebabkan pendarahan dalaman.

5. Kulit
Penggunaan steroid yang berlebihan menyebabkan pelbagai masalah kulit seperti jerawat, cyst, dan kulit dan rambut berminyak.

6. Jangkitan
Pesalahguna steroid kebiasaannya menggunakan teknik suntikan yang tidak steril atau bertukar-tukar jarum suntikan yang telah dicemari bakteria dan virus. Selain itu, sesetengah steroid untuk pasaran haram adalah disediakan dalam keadaan tidak steril. Faktor inilah yang meletakkan pesalahguna steroid berada dalam risiko tinggi untuk menghidap jangkitan virus seperti HIV, hepatitis B dan hepatitis C. Pesalahguna juga mudah untuk mendapat endokarditis, iaitu jangkitan bakteria pada jantung yang boleh membawa maut. Jangkitan bakteria juga boleh menyebabkan kesakitan dan nanah di kawasan suntikan.

Tiada ulasan: